Saturday, February 9, 2013

RAMPAS TANAH KUBUR - PENDUDUK BANTAH GUAN ENG, RAMASAMY

Sekumpulan 40 penduduk kaum India dari kawasan Nibong Tebal naik berang dan melancarkan satu demonstrasi membantah tindakan Kerajaan Negeri DAP Pulau Pinang yang didakwa telah merampas tanah perkuburan masyarakat India Ladang Batu Kawan. 


Mereka yang terdiri daripada para penduduk Ladang Batu Kawan, Ladang Kalidonia dan kawasan Simpang Ampat di Nibong Tebal mendakwa bahawa tanah perkuburan seluas 4 ekar dan terletak di bawah pentadbiran Kuil Dewi Sri Maha Mutumariamman, Ladang Batu Kawan itu telah diambilalih untuk diserahkan kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang. Pentadbiran tanah perkuburan berkenaan juga dikatakan telah diletakkan di bawah Lembaga Wakaf Hindu yang terletak di bawah penguasaan kerajaan negeri. 


Mereka turut mempertikaikan campurtangan Prof P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dalam hal ehwal pentadbiran kuil kerana tidak mempunyai hak atau kuasa untuk berbuat demikian. Begitu juga dengan Kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh DAP dikatakan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengambil tanah perkuburan masyarakat India. Daripada reaksi penduduk terlibat, bagi mereka Ramasamy hanyalah "Pak Turut" kepada Guan Eng.

Semasa bantahan yang diketuai oleh M.V Mathiyalagan, Pengerusi IPF Bahagian Nibong Tebal itu berlangsung, para penduduk terlibat turut mempamirkan beberapa banner mengecam Kerajaan Negeri DAP Pulau Pinang khususnya Guan Eng dan Ramasamy yang didakwa telah menipu penduduk kaum India di kawasan Batu Kawan. 


Kemuncak kepada kemarahan mereka, kumpulan tersebut telah membakar keranda dan gambar Guan Eng dan Ramasamy. 


Signifikan di sebalik bantahan demi bantahan yang dilancarkan oleh pelbagai pihak serta pertubuhan berhubung pelbagai isu di Pulau Pinang, ianya jelas memperlihatkan kredibiliti, integriti dan kejujuran serta keikhlasan Kerajaan Negeri DAP khususnya Guan Eng dan Ramasamy semakin dipersoalkan. Sebelum ini iaitu sejak pentadbiran Kerajaan BN, masyarakat India tidak pernah menghadapi masalah berhubung tanah perkuburan.

No comments:

Post a Comment